Wednesday, August 24, 2011

Kad Raya Untuk Abah..

Abah,inilah kali pertama Aiman menulis untuk abah.Semoga ruang yang terbatas ini mampu mencoretkan semua yang ingin Aiman luahkan kepada abah,yang perlu abah tahu dan yang tersimpan kian tersimpul di hati Aiman selama ini.Semoga hati abah terbuka untuk menerimanya kerana bagi Aiman seorang yang hebat dan adil bukan ingin difahami jiwa dan kehendaknya sahaja tapi perlu juga memahami dan menyelami jiwa orang lain kerana kita dijadikan Allah SWT dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing.
Tidak semestinya yang tua,yang dahulu makan garam selalu betul dan yang mentah,yang baru hendak mengenal dunia selalu merencong.Mungkin terlalu panjang pula mukaddimah yang Aiman coretkan.Mungking juga abah tertanya-tanya kenapa baru sekarang Aiman tergerak hati untuk menulis buat abah.

Abah,kekusutan antara kita perlu diuraikan dan diakhiri terutamanya kita kini di bulan Ramadhan yang penuh kemuliaan dan barakah.Kira-kira 10 hari lagi kita akan menyambut hari raya abah.Dan untuk pengentahuan abah juga sebagai anak,sepanjang waktu Aiman dihambat rasa bersalah di atas apa yang telah terjadi antara kita.Mungkin selama ini hati Aiman terlalu keras untuk melihat dan merenung segala yang berlaku secara adil.Adil bagi pihak abah dan saksama bagi diri Aiman.Mungkin juga sinar Ramadhan telah membuka hati Aiman untuk meneroka segala kesilapan yang telah Aiman lakukan.Sudah dua kali Aidilfitri yang Aiman lalui terasa sepi.Terasa kosong walhal itulah hari kemenangan kita sebagai umat Islam setelah berjaya mengharungi tanggungjawab rukun Islam ketiga.Bila terdengar takbir yang memuji keagungan Ilahi,hati Aiman menjadi rawan.Betapa Aiman hidup dalam kejahilan kerana membuat abah murka.

Bukan Aiman mahu menolak permintaan abah.Bukan juga Aiman mahu mengingkari arahan abah.Memang sejak dahulu lagi hubungan antara kita tidak menemui detik persamaan.Mungkin abah yang selalu mengabaikan kami dengan kesibukan kerja.Mencari nafkah untuk keluarga.Mengejar kekayaan yang entah untuk siapa.Bukan kami mahu menafikan  segala penat jerih abah tetapi terlau sukarkah untuk abah memperuntukkan sedikit masa untuk kami.Keluarga kita tidah mesra,abah.Kadang-kadang kami anggap abah seperti orang lain.Pada hari raya pun abah bekerja menjadikan hari raya kita terlalu hambar dan tidak seperti orang lain.Aiman dan adik-adik yang lain teringin sekali mencium abah di pagi lebaran.Terasa juga nak menziarahi kaum kerabat.Ah,itu semua jauh panggan dari api,bah..
Bila kami adukan keingginan kami kepada ibu,ibu minta kami bersabar kerana katanya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.Hanya kepada ibu tempat kami mengadu kesedihan dan bercerita itu ini.Tapi bila ibu pergi meninggalkan kita semua kerana penyakit barah hidup kami makin sepi.Sepi seperti perkuburan ibu.Kami semakin kehilangan tempat mengadu,abah.

Kami tidak pernah mengizinkan abah berkahwin lagi namun siapalah kami untuk menhalangnya. Perkahwinan abah bukan untuk kami tapi untuk memenuhi keperluan abah.Tapi kami cuba menerima mama Irna  seadanya kerana selepas berkahwin dengan abah bererti dia juga sebahagian keluarga kita.
Mama Irna menyayangi kami.Mungkin melebihi sayang abah kepada kami.Pada hari raya kami akan dibawa ke kampungnya di Melaka tanpa abah kerana abah masih abah yang dulu.Masih kaku untuk mengerti nilai sebuah kemenangan selepas kita melawan nafsu dan belenggu syaitan selama sebulan.Abah masih bekerja di hari raya.Masih belum mengerti indahnya Aidilfitri.Mula-mula kami berasa janggal dikelilingi orang sekeliling yang tiada ikatan kekeluarga dengan kami namun lama kelamaan kami berasa seronok berada di sini.Kasih sayang Atuk Ali dan Opah Munah membuatkan kami baru terasa kasih sayang seorang datuk dan nenek yang kami telah lama kehilangan.Setiap kali kami minta untuk pulang ke kampung atuk dan nenek sebelah ibu papa marah kami menyebut nama itu.Pernah sekali abah hendak menampar Aiman kerana menyoal kenapa abah begitu anti kepada datuk dan nenek kami.

Akhirnya,Aiman tahu kenapa abah berkeadaan begitu.Mama Irna telah menceritakan segala-galanya kat kami abah.Aiman masih ingat malam tu malam tujuh likur.Sebak tiba-tiba menyentuh hati kami.Mungkin terkenang kenangan dengan arwah ibu.Kami teringat malam-malam Ramadhan kami.Kami berempat akan ke masjid untuk berterawih sama-sama.Tapi kini semuanya hilang.Pusara ibu tidak pernah kami kunjungi kerana arwah ibu dikebumikan di kampungnya.Kami terasa teringin sangat untuk membaca Yaasin dan menjirus air mawar di pusaranya seperti kami lakukan semasa hari kematiannya,abah. Merah dendam abah jangan menhancurkan perasaan kami.Usah babitkan kami kerana kami tidak bersalah biarpun kelahiran kami tanpa penantian abah.
Cerita mama Irna pada malam tu,sebenarnya perkahwinan abah dengan ibu kerana melunas hutang.Abah mendukung biawak hidup kerana menjadi pak sanggup.Ibu bunting kerana diperkosa pekerja atuk yang berhati haiwan.Demi menutup malu keluarga,atuk mencari seorang lelaki untuk menjadi suami kepada ibu dan menjadi bapa kepada anak yang dikandung.Dan lelaki itu ialah abah.Abah,anak pemandu atuk yang merempat dan banyak berhutang wang dengan atuk.Akhirnya abah terpaksa angguk kerana abah tiada pilihan pada masa tu.

“Jadi Aiman ni bukan anak abah la.Sebab tu Aiman yang paling abah benci?”Tanyaku kepada mama Irna kerana antara kami bertiga akulah yang paling tua. Ira dan adik bongsuku Tina memandang aku.Aku tahu mereka mengerti apa yang bermain di fikiran mereka.Aku memegang tangan keduanya.Apa pun status hubungan kami,kami tetap akan bersama.Itu janjiku.Ketika itu air mata mulai tumpah di baju Melayu yang aku pakai.Mama Irna menghulur sehelai sapu tangan kepadaku.
“Jangan menanggis depan adik-adik Aiman.Abah tak pernah benci pada Aiman”,pujuk mama Irna. “Sebenarnya anak yang dikandung ibu kamu keguguran semasa berusia lima bulan.Aku menarik nafas kelegaan.Sepantas itu juga Ira dan Tina memelukku.Andai aku anak haram itu sekalipun aku tidak kisah asalkan aku anak ibu.Aku lahir dari rahim ibu.Insan yang terlalu tulus mengasihi kami adik beradik biarpun hatinya kosong kesepian.

“Mengapa abah tak ceraikan ibu?Mengapa perlu seksa perasaan ibu?”Tanya Ira dengan nada protes dan marah.Mungkin terasa tercabar kerana ibu yang dikasihinya selama ini hidup terabai.Umurnya yang menganjak ke usia 16 tahun mungkin sudah cukup membuatkan dia sedikit matang.Berkali-kali kulihat wajah Ibu pada wajah Ira tapi kutemui watak Ibu pada diri Tina.Tina lembut dan selalu memaafkan tetapi Ira sebaliknya.Selalu melawan dan jarang sekali mengalah bila haknya dirampas.
“Kami dibenihkan di rahim ibu dengan titis nafsu,bukan kasih sayang”,luahku pula.
“Ira..Aiman..orang terpelajar seperti kalian tidak seharusnya berkata begitu.Jangan belajar membenci abahmu sendiri.Seburuk mana pun dia,dia tetap abah kalian.Orang yang membawa kalian mengenal dunia ni.Dialah juga yang membina semula empayar perniagaan atuk yang runtuh,”ujar mama Irna lembut.Bukan aku mahu pertikai sumbangan abah dalam kehidupan kami adik beradik tetapi masihkah abah mahu menolak jodoh yang telah Allah SWT tetapkan kepadahambaNya.
Ketahuilah abah,keterpaksaan adalah pagar berduri.Haruskah abah mengulangi kesakitan yang abah lalui ke atas Aiman pula.Atau inikah namanya dendam yang tidak sempat abah lunaskan kepada atuk.Untuk mengembangkan perniagaan,abah sanggup meletakkan Aiman di tengah dan abah mahu Aiman jadi patung seperti abah dahulu.

“Aiman mesti kahwin dengan Lily,anak Datuk Harun tu!”Aiman masih ingat suara abah pada hari tu.Abah telah menggunakan kuasa veto abah ke atas Aiman supaya Aiman sedar selama ini bah adalah tuan manakala Aiman hanyalah hamba.Mungkin abah tak sedar masa tu umur Aiman dah 26 tahun.Aiman sudah boleh membuat keputusan sendiri.Aiman sudah mampu berdiri atas kaki sendiri.
Mana mungkin Aiman akan berkahwin dengan NorLily binti Datuk Harun itu.Perempuan yang sama-sama dengan Aiman belajar di England itu.Perempuan yang kerap membawa lelaki pulang ke rumahnya.Tak cukup dengan Orang Melayu kadang-kadang bawa balik Mat Salih.Perempuan yang menjadikan arak sebagai minuman hariannya.Tak mungkin!Tak mungkin abah,Aiman berkahwin dengannya! Itu kata muktamad Aiman.
Abah halau Aiman dari rumah.Itu titik hubungan antara kita.Aiman masih berhubung dengan Ira,Tina dan Mama Irna.Kami berhubung melalui Facebook dan kadang kala Mama Irna dan adik adik telefon Aiman bertanya khabar.Mereka hadir pada hari perkahwinan Aiman.Ira dan Tina datang dengan cara sembunyi-sembunyi dan luar pengentahuan abah.Mama Irna juga hadir tanpa bercerita satu pun mengenai abah.
Arisya Qistina,anak Aiman iaitu cucu abah sudah berusia dua tahun sekarang,abah.Ahli perniagaan terbilang.Jauh di suduk hati Aiman sendiri amat berbangga menpunyai abah seperti Abah.Cuma tidak pernah Aiman suarakan di hadapan abah.Mungkin  kerana antara kita tidak pernah mesra.Kasih abah tak pernah mengalir dalam diri kami adik beradik.

Sebulan sebelum ketibaan Ramadhan,mama Irna ada datang melawat Aiman. Datang untuk menjemput Aiman sekeluarga ke majlis perkahwinan Ira yang akan diadakan pada hari raya ke-enam nanti.Ira berharap sungguh kami akan dating.Kalau boleh dating lebih awal.Tina pula tak habis-habis memujuk kami beraya di rumah abah.
Bila Ira memberiatu tentang perkahwinannya yang diatur oleh abah Aiman jadi terharu.Anak baik itu sanggup menurut kata abah demi melihat keluarga kita bercantum semula.Aiman tahu perangai Ira macam mana,abah.Ira anak yang degil dank eras kepala,abah.Tetapi dia sanggup menurut dan berkorban demi abah.Di bahu Aiman dia menanggis kerana terpaksa melupakan cintanya yang sudah beberapa tahun terjalin.Tetapi demi abah dia turuti jua.Dia sempat bercerita tentang keadaan abah kepada Aiman.Katanya,marah abah sudah surut.Sejak akhir-akhir ni abah kerap bercerita tentang Aiman.Kalau abah rindu kat Aiman,ketahuilah abah Aiman juga amat merindui abah.Aiman akan pulang pada Aidilfitri ini,abah.Aiman teringin sangat nak cium tangan dan dahi abah.Aiman mahu merasa kehangatan kasih antara kita.Ampunkan segala dosa Aiman,abah..

Anakmu yang merindui,
Aiman Faiz Bin Datuk Sukri


“Abang kenapa kita tak balik awal sikit?”Tanya Balqis isteriku.Kulihat dia dan Risya sudah tak sabar lagi menanti detik pertemuan yang pertama ini.
“Kerja abang masih banyak”.
“Mana lebih penting kerja atau abah?”
“Dua-dua penting,sayang.”
“Atau abang masih ragu nak jumpa abah?Abang takut abah menolak?
“Abang rasa abang dah terlalu lama menanti saat ni,sayang.Abang teringin sekali nak peluk abah.nak cium tangan dan dahi dia.Sesuatu yang tak pernah abang lakukan sepanjang hidup abang.”Sememangnya debar hatiku kian bertalu menanti detik itu.
Petang itu kami shopping barang keperluan untuk hari raya.Tiba-tiba telefon berbunyi isyarat mesej masuk.
ABANG,PULANG CEPAT.ABAH DAH X DE.TINA ADA CALL KAT RUMAH ABANG X BERJAWAB.KAT PEJABAT PUN X DE ORG ANGKAT.
Itu SMS yang sempat masuk ke telefon bimbitku.Aku,Balqis dan Risya pulang dengan seribu satu kesedihan.Aku sempat memandikan jenazah abah.Mungkin ini jasa aku yang terakhir untuk abah.Selepas dikafankan aku sempat membenamkan hidungku ke dahi abah.Wajahnya sejuk kaku.Inilah kali pertama dan terakhir aku mampu berbuat demikian.air mata menitis lagi.


“Aiman,kad raya yang Aiman hantar hari tu dah sampai.Abah sempat baca.Dia tak sabar-sabar nak jumpa cucu dia yang seorang ni.Sebelum dia pergi buat selama-lamanya dia ada pesan supaya mama sampaikan pada Aiman.Katanya dia minta maaf dan minta halalkan segala kasih sayang yang tak pernah dicurahkan dari secangkir hatinya.Segala dosa dan kesalahan Aiman telah abah ampunkan,”ucap Mama Irna dengan air mata yang bertakung.Aku tertunduk.Abah,Aiman dah lama maafkan dan halalkan segalanya,abah.

Allahu akbar  Allahu akbar Allahu akbar Lailahaillaahu wa Allahu akbar Allahu akbar walillahil hamd. SELAMAT HARI RAYA ABAH...




No comments:

Post a Comment